Monday, July 16, 2018

India: Kebangkitan Sebuah Tamadun Silam

Oleh : Muhammad Ariff Mohamad Nizam

Dunia ini anarki, ia kenyataan yang tidak dapat disangkal lagi.

Ia dipegang erat para realis manakala liberalis pula akur dengan kondisi tersebut namun keadaan masih bisa dikawal bila wujudnya kerjasama dan kebergantungan.

Terbitnya idea esei ini untuk memberi fokus kepada pemain kuasa global. Ia akan menyelusuri pasca Perang Dingin yang menyaksikan ketakjuban Amerika Syarikat (AS) memahkotakannya sendiri sebagai satu-satunya kuasa hegemoni global. Posisi ini kekal dan hanya akan berubah jika AS mengakui kehebatan negara bangsa lain untuk menyandang posisi berkenaan.

Kerana perlu hanya ada satu saja kuasa hegemoni dunia, Amerika Syarikat seboleh-bolehnya akan merapati negara bangsa yang membangun bagi memastikan keseimbangan kuasa kekal wujud lantas mengekalkan posisinya. Isyaratnya cukup jelas, hanya AS saja yang akan menobatkan para pemain global. Dalam bahasa analogi yang mudah, AS diletak sebagai pengurus pasukan bola sepak yang mengawal dan menentukan gerak geri permainan bagi memastikan status quo-nya kekal agar tidak ditendang keluar dari posisi sedia ada. Pemain akan dilayan dengan baik, dituruti kehendaknya melalui hubungan yang baik.

Kebangkitan pemain baharu

Pasca krisis ekonomi Asia sekitar 1997/98, benua terbesar ini menjadi tumpuan dunia dengan melihat perkembangan pemain ekonomi utama seperti China, India, Jepun, Korea Selatan dan turut tersenarai Indonesia yang dijangka akan menjadi rantau mengumpulkan pemain kuasa global menggantikan Eropah menjelang 2015 (Jasjit Singh, 2000; Dingli, 2010).

Bagi AS, Jepun dan Korea Selatan tidak mendatangkan risiko kepadanya memandangkan dua negara ini merupakan sekutu kuat kepada polis dunia ini. Begitu jua, Indonesia yang diketahuinya mendukung prinsip berkecuali sejak Perang Dingin. Sejak dekad 1990-an sehingga kini AS terhimpit di antara pemain kuasa baharu; China dan India.

Ideologi mungkin menjadi asas untuk menjinakkan dua pemain ini yang memperlihat India lebih mudah dijinakkan oleh AS kerna berideologikan demokrasi berbanding sosialis (juga dirujuk sebagai komunis) yang cukup sinonim dengan China (Twining, 2007).

Akhir dekad 90-an, AS bukan saja berdepan dengan kebangkitan agresif China malah turut terkesan dengan langkah India yang melancarkan ujian senjata nuklearnya. Dan ia dilihat sebagai suatu petanda akan kebangkitan India sebagai pemain kuasa global (Raja Mohan, 2006).

India: Pasca ujian senjata nuklear 1998

AS tidak berlengah soal ini, langkah diambil mendekati India bagi menyeimbangkan kembali kuasa dunia. Pun begitu, ia semacam melegakan buat AS tatkala India berulang-kali menegaskan pendirian kebangkitannya bukan untuk menyaingi AS sebaliknya sekadar mahu menjadi antara pemain penting peringkat global dan menjadi kuasa dominan di Asia Selatan selari dengan tiga rencah utamanya; punyai populasi kedua terbesar, demokrasi terbesar di dunia dan miliki sejarah ketamadunan yang panjang (Raja Mohan, 2006; Ross, 2013).

Mendekati India merupakan antara misi penting AS di rantau Asia tatkala mendepani kemaraan China yang terus-terusan memberi tekanan kepada AS dan sekutunya. Mulai zaman Bill Clinton, pengukuhan hubungan dimulakan, legasi tersebut diteruskan ketika Bush mengambil tampuk dan dieratkan lagi di bawah Obama bila Hillary Clinton (ketika itu menjawat setiausaha negara AS) dihantar terus untuk mengeratkan hubungan dua hala; AS-India malah ia dianggap paling berjaya pada abad ini (Shaili Chopra, 2009; Mayang A. Rahawestri, 2010; Buzan, 2012; Stuti Banerjee, 2014).

Keamanan – kata kunci yang dipegang utuh India selari dengan prinsip yang dipelopori bapa India, Mahatma Gandhi – keamanan tanpa sebarang kekacauan, kekejaman mahupun keganasan. Prinsip amat dijunjung tinggi dalam setiap polisi pemerintahan India terutama berkaitan hubungan antarabangsa meskipun realiti sosial domestiknya menggambarkan sebaliknya – merujuk kepada permasalahan sosial di India terutamanya kes rogol yang dari sisi keselamatan awam – ia amat kritikal.




Berpegang prinsip keamanan – India sekadar mahu menjadi kuasa pengaman dunia terutama di rantau Asia Selatan dengan berpandukan tiga rencah yang dinyatakan tadi. Aspirasi India ini dilihat positif oleh AS dan mendukung penuh niat India itu lantas memberikan pengiktirafan kepada pensejataan nuklear India. Perlu ditekankan, doktrin nuklear India juga membawa nada keamanan yang dikenali sebagai No-First Use yang bersifat pertahanan dan tidak akan digunakan bagi tujuan serangan.

Narendra Modi yang merupakan perdana menteri baharu kerajaan India ketika kempen pilihan rayanya menegaskan doktrin nuklear ini akan kekal meskipun ia punyai abiliti kekuatan yang cukup tinggi (Busvine, 2014). Sekali lagi, amat jelas India sememangnya berpegang utuh dengan prinsip Gandhi – keamanan tanpa sebarang kekerasan.

Polisi Pasak ke Asia

Mendepani kemaraan China bukan kerja mudah bagi AS. Ia dirumitkan lagi dengan kondisi ekonomi domestik AS yang kini di ambang tidak tentu hala tujunya. Rentetan itu, belanjawan negara terpaksa dikurangkan lantas pentadbiran Obama muncul dengan ide yang membentuk polisi Pasak ke Asia – bagi tujuan penyeimbangkan kembali belanjawan negara dengan mengurangkan penglibatan di luar negara dan dalam masa sama mengekalkan posisi kuasa hegemoninya. Polisi ini dilihat sebagai pendekatan bagi memperkukuh kedudukan AS di Asia secara komprehensif; ketenteraan, diplomatik dan paling utama ekonomi.

Seperti yang dinyatakan tadi, AS tiada masalah dengan rakan sekutunya kerna pelusuk Asia termasuk di Kepulauan Pasifik dan juga Australia berdiri teguh di belakangnya malah India juga turut menyambut baik polisi ini. Bagi India, polisi Pasak ke Asia dilihat sebagai polisi serampang dua mata yang dibawakan AS dan memberi manfaat yang besar kepadanya untuk mencapai aspirasinya. Dan ia ditegaskan oleh AS sendiri yang antara lainnya menyatakan sokongan jitu dan akan membantu India untuk mencapai segala aspirasinya. Lenggok ini jelas cubaan AS untuk menjadikan India sebagai rakan sekutunya di samping Australia, Jepun dan Korea Selatan namun gagal kerana India bertegas untuk tidak mencampuri pertandingan antara AS dan China dengan mengambil posisi berkecuali.

Tetapi, India tetap menyatakan pendiriannya kemaraan agresif China membawa padah jika tidak dibendung. Padahnya bukan saja pada AS malah turut memberi impak kepada India sendiri daripada sisi ekonomi, misalnya (Kamal Mitra Chenoy dan Anuradha M. Chenoy, 2007; Pant, 2009 dan Paul, 2010 dicatat oleh Buzan, 2012).

Polisi ini juga memberi peranan yang lebih kepada India tatkala AS kini mulai mengurangkan kehadiran tenteranya di rantau Asia dan kerja mengawasi keamanan di rantau ini dibahagikan antara sekutu dan negara kerjasama AS. India diberi peranan khusus dan selari dengan aspirasinya – untuk menjadi kuasa dominan di Asia Selatan – AS memberi sepenuh laluan dan kepercayaan untuk memastikan keamanan kekal teguh di rantau tersebut merentasi keselamatan di Lautan Hindi (Buzan, 2012; Rumley, 2013).

India: membangun secara komprehensif

Daripada sisi ekonomi, India kini berada dekat di belakang China dan AS sebagai kuasa ekonomi global selepas menundukkan Jepun seperti yang direkodkan Bank Dunia (Ankit Panda, 2014). Selari dengan jangkaan yang diletakkan Goldman Sachs India bakal menjadi pemain utama ekonomi dunia menjelang 2030 malah dijangkakan, India bakal menumbangkan gergasi ekonomi dunia; AS dan juga China (Feigenbaum, 2010; Vidya Nadkarni, 2010; Tellis dan Mirski, 2013).

Ekonomi menjadi wadah penting bagi pemerintahnya untuk memacu pembangunannya yang mampan. Makanya, tidak dapat dipisahkan, pabila sudah kukuh pegangan ekonomi, semestinya ia akan sedikit sebanyak menokok tambah kepada kekuatan ketenteraan menerusi peruntukan belanjawan ketenteraannya. Baru-baru ini, pemerintah India memperuntukkan sejumlah besar peruntukan bagi memodenkan ketenteraannya yang meletakkan India sebagai pelabur terbesar ketenteraan dunia pada tahun lalu dan dijangka bakal menundukkan Jepun di kedudukan keempat menjelang 2020 (The Economist, 2013; Abhijit Iyer-Mitra, 2014).

Daripada sudut politik pula, India sememangnya bergerak aktif mengetuai negara dunia ketiga menerusi kebanyakan institusi multilateral – menjadi platform baginya mengembangkan pengaruhnya ke seluruh pelusuk dunia. Peranannya dapat jelas dilihat dalam membentuk kumpulan G-4, G-15, G-20 dan juga G-33. Malah peranannya juga ditingkatkan dengan menjadi penyumbang kepada negara membangun di rantau Afrika dan juga Asia menerusi Program Pembangunan India yang dipelopori sejak 2003 (The Times of India, 2003).

Selain itu, peranan India di persada global tidak terbatas di negara membangun, kelibatnya turut ditagih oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menerusi operasi pengaman dan ini dapat dilihat keterlibatan India secara aktif dan langsung dalam krisis di Afghanistan, Libya dan juga Syria yang turut diiktiraf oleh AS (Tellis, 2005; Gilboy dan Heginbotham, 2013; Inderfurth, 2013).

Puncak kebangkitan India

Menjadi sebuah kuasa yang menekankan keamanan dan kebertanggungjawaban merupakan fokus yang mahu dicapai India. Merujuk kembali prospek kejayaan kebangkitan India secara komprehensif, ia cukup jelas dan nyata memperlihat kelayakan India untuk menjadi pemain kuasa utama global seiring bersama AS, Britain, Perancis, China dan Rusia. Kebangkitan yang konsisten ini melayakkannya meraih kerusi tetap di Majlis Keselamatan PBB dan calon yang begitu sesuai untuk mengisi kerusi tersebut.

Kepesatan ekonominya juga boleh menjadi alasan yang kukuh digunakan AS untuk membantu India menduduki majlis tersebut sekali gus mencapai aspirasinya (Tellis, 2005).

Tiga rencah utama yang dinyatakan pada awal esei ini juga menjadi pemangkin kepada India untuk mengorak langkah bangkit membawa ramuan komprehensif bangkit menuju puncak sebagai sebuah pemain kuasa global.

Kini, sosok individu yang mengepalai kerajaan India menjadi perhatian dunia kerana sosok inilah yang bakal mencorak perjalanan India. Namun begitu, AS semestinya perlu menghela nafas lega kerana India sebagai negara demokrasi terbesar dunia tidak memberi ancaman kepadanya. Ia amat dekat dengan prinsip demokrasi; negara demokrasi tidak mengancam sesama sendiri. Perihal ini diakui AS sendiri dengan memberi kepercayaan yang tinggi pada India berbanding China.

Narendra Modi, figura baharu dalam memandu India menuju ke puncak kebangkitannya kini bakal memperlihat corak baharu hubungan India dan AS malah peranannya di peringkat global terutama di pentas Asia Selatan. Lenggok sosok ini tampak positif di awal pemerintahannya tatkala melakukan lawatan rasminya yang pertama ke negara jirannya iaitu Pakistan. Mesejnya jelas, India mahu menenang dan memperbaharui hubungan dua hala yang sekian lama tegang.

Dunia menantikan tiap langkah India yang seterusnya. Kebangkitannya membawa sekali ketamadunan silamnya setelah sekian lama menyepi di pentas dunia.

Ambilan : http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/india-kebangkitan-sebuah-tamadun-silam-muhammad-ariff-mohamad-nizam#sthash.7L13cEQH.dpuf

No comments:

Post a Comment